AGENDANASIONAL

KKM: Bazar Ramadan boleh beroperasi jika ikut SOP

SHAH ALAM, 31 MAC: Bazar Ramadan boleh beroperasi jika peniaga dan orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia merangkumi penjarakan sosial individu, kebersihan dan langkah berjaga-jaga.

“Selagi boleh mematuhi SOP ditetapkan, mengelak kontak, ada ruang baik dan menjaga kebersihan, ia (bazar Ramadan) boleh diteruskan.

“Kawalan keseluruhan sangat penting di tempat sesak,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Pagi tadi, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata prosedur pengurusan bazar Ramadan tahun ini akan dipertingkat bagi mengelak orang ramai bersesak di gerai jualan.

Beliau berkata pihaknya akan membuat penelitian lanjut bersama pihak berkaitan sebelum pengumuman mengenainya dilakukan sedikit masa lagi.


Pengarang :