Kerajaan menambah 830 jururawat lantikan secara kontrak bagi menambah kapasiti petugas di 135 hospital kerajaan di seluruh negara memandangkan bilangan kes positif Covid-19 semakin ketara sejak minggu lepas. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM kenal pasti 3,000 staf kontrak, bantu tangani Covid-19

PUTRAJAYA, 24 MAC: Kira-kira 3,000 jururawat dan pegawai perubatan kontrak termasuk yang telah bersara dikenal pasti untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mendepani wabak Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian mempunyai senarai nama mereka yang akan dipanggil untuk tujuan itu.

“Kami telah ada nama mereka, kami sedang dalam urusan pengambilan dan mereka akan ditempatkan di bahagian-bahagian mengikut kepakaran mereka,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM600 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani Covid-19.

Peruntukan sebanyak RM500 juta untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan wad rawatan rapi, peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan Covid-19.

Sejumlah RM100 juta pula disediakan kepada Kementerian Kesihatan untuk melantik kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.
Dalam pada itu, KKM juga bersedia untuk menyediakan tambahan 3,000 katil bagi pesakit COVID-19.

Katanya persediaan itu seperti menjadikan fasiliti institut latihan atau asrama sebagai wad sementara untuk merawat mereka yang dijangkiti.

Persediaan juga termasuk menggerakkan petugas kesihatan dari negeri lain untuk membantu hospital yang merawat COVID-19.

“Kita tidak boleh membina hospital dalam masa 10 hari tetapi dengan berbuat demikian kami harap kami boleh memberi rawatan terbaik kepada pesakit COVID-19 ini,” katanya.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata kesemua kakitangan kesihatan yang dijangkiti Covid-19 tidak mendapat jangkitan itu ketika bertugas di wad isolasi pesakit itu.

Sebaliknya, mereka mendapat jangkitan daripada perhimpunan ramai dan pesakit yang hadir ke fasiliti kesihatan dan tidak memaklumkan sejarah mereka.

“Tidak ada kakitangan kesihatan yang dijangkiti bekerja di wad Covid-19, wad isolasi itu adalah tempat paling selamat. Kami mengambil semua langkah berjaga-jaga dan mereka dilindungi daripada virus itu,” katanya.

Sehingga kini, seramai 19 kakitangan KKM dan lima petugas daripada fasiliti kesihatan swasta disahkan dijangkiti Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :