Petugas kesihatan di barisan hadapan. Foto Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

KKM nafi pakar perubatan maut akibat Covid-19

SHAH ALAM, 21 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menafikan dua kematian berpunca daripada jangkitan Covid-19, yang tular di media sosial, kata ketua pengarahnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebaliknya berkata kedua-dua pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan berada dalam keadaan stabil.

“Salah seorang pesakit tersebut merupakan pakar perubatan kecemasan daripada sebuah hospital KKM di Perak, manakala seorang lagi pesakit berusia 63 tahun merupakan peserta perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

“Kedua-dua pesakit kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil. Tiada kematian seperti yang ditularkan di media sosial,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Dr Noor Hisham berkata petugas kesihatan KKM di seluruh negara sedang berusaha sebaik mungkin memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 serta mengesan kes baharu.

Beliau juga meminta orang ramai membantu dengan duduk di rumah, menjaga kebersihan diri dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas kesihatan dan pihak keselamatan.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar petugas kesihatan dilindungi daripada sebarang malapetaka dan diberikan kesihatan serta kekuatan menghadapi krisis ini.

“Anda semua boleh membantu kami dengan duduk di rumah dan jujurlah apabila diminta maklumat,” katanya lagi.


Pengarang :