Kakitangan perubatan melakukan saringan pengesanan Covid-19 ke atas jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling Kuala Lumpur. Foto Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

KKM rayu jemaah tabligh jalani saringan

SHAH ALAM, 20 MAC: Jemaah yang menghadiri Ijtimak Tabligh baru-baru ini diminta segera menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengekang penularan Covid-19, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Rayuan kepada peserta yang belum melakukan pemeriksaan segera hadir ke fasiliti kesihatan atau hubungi pejabat kesihatan berhampiran,” kata KKM dalam satu mesej dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Setakat 12 tengah hari semalam, KKM mengesahkan 110 pesakit positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 900 kes dengan 63 daripadanya berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Berdasarkan maklumat pengesanan kluster kes Covid-19 di masjid berkenaan sehingga semalam, seramai 10,650 peserta tabligh berjaya dikesan membabitkan 40 markas.

Daripada jumlah itu, 10,553 sudah diperiksa dengan 4,986 sampel diambil dan 513 disahkan positif serta 2,559 negatif manakala jadual menunjukkan 659 orang dimasukkan ke hospital selain 6,627 lagi di dalam pemantauan di rumah masing-masing.

Daripada keseluruhan kes itu, 109 dicatatkan di Perlis dengan tujuh orang disahkan positif diikuti Kedah (323 kes, 31 positif), Pulau Pinang (143 kes, 28 positif), Perak (577 kes, 28 positif) dan Selangor (1,924 kes, 40 positif).

Seramai pula 262 diperiksa di Negeri Sembilan dengan 33 positif, Melaka (371 kes, 17 positif), Johor (1,276 kes, 53 positif), Pahang (894 kes, 29 positif), Terengganu (364 kes, 10 positif), Kelantan (614 kes, 28 positif), Sarawak (656 kes, 38 positif), Sabah (1,805 kes, 91 positif), Kuala Lumpur dan Putrajaya (764 kes, 75 positif) serta Labuan (41 kes, lima positif).


Pengarang :