Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media mengenai Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 4 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM tubuh jawatankuasa khas audit kematian pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menjalankan audit terhadap kes kematian pesakit Covid-19 di hospital, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Jawatankuasa Kebangsaan Kaji Kematian Covid-19 itu akan diketuai Pakar Perunding Penyakit Berjangkit yang juga Mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) KKM, Datuk Dr Christopher Lee.

Katanya, penubuhan jawatankuasa khas itu diputuskan menerusi mesyuarat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) yang dipengerusikannya semalam.

“Beliau (Dr Christopher Lee) akan dibantu oleh pakar pelbagai disiplin yang berkaitan, manakala Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan, Bahagian Perkembangan Perubatan bertindak sebagai sekretariat teknikal bagi membantu jawatankuasa tersebut.

“Melalui jawatankuasa ini, setiap butiran pengurusan dan rawatan yang telah diberikan kepada setiap kes kematian Covid-19 akan diteliti oleh pakar-pakar berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.

Dr Noor Hisham berkata hasil analisis maklumat oleh jawatankuasa itu diharap dapat membantu dalam pengurusan pesakit Covid-19.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Dr Christopher Lee yang sudi membantu walaupun sudah bersara daripada perkhidmatan awam pada Januari lepas.

– BERNAMA


Pengarang :