AGENDANASIONAL

KPDNHEP sita seterika, jam tangan tiruan lebih RM100,000

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Sebanyak 2,274 unit seterika dan jam tangan berjenama tiruan disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur dalam serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Raja Laut, di sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya Azeem Nazuri berkata seterika berjenama Phillips dan jam tangan jenama G-Shock dianggarkan bernilai lebih RM100,000 disita kerana disyaki tiruan dalam serbuan oleh lapan pegawai KPDNHEP selepas membuat risikan selama dua bulan.

Beliau berkata KPDNHEP juga percaya seterika yang dirampas tidak memiliki ciri-ciri keselamatan, tidak mempunyai kad waranti serta tidak mempunyai persijilan seperti pengesahan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

“Kesemua barangan ini dipercayai dijual dengan harga RM30 hingga RM50 seunit bagi seterika dan jam tangan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media ‘Operasi Jeriji’ di pejabat KPDNHEP Kuala Lumpur di Kompleks Sentral, di sini semalam.

Selain itu, Azeem berkata pihaknya turut menahan tujuh individu termasuk lima warga Pakistan dan Bangladesh berumur 21 hingga 36 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pengurus dan pekerja di premis terbabit ketika serbuan kira-kira 11.30 pagi.

Beliau berkata kesemua suspek terdiri daripada tiga wanita dan empat lelaki direman selama empat hari manakala kes disiasat di bawah Seksyen 102(1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

Menurut Azeem, pihaknya juga sedang mengenal pasti pemilik premis berkenaan.

“Saya menasihatkan pengguna supaya berhati-hati ketika membeli khususnya barangan elektrik agar tidak terpedaya. Dapatkan maklumat sah daripada pengedar atau membuat semakan di Sirim.

“KPDNHEP memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak melanggar undang-undang dan sekiranya ingkar, tindakan undang-undang akan dikenakan,” katanya.

Azeem berkata sebarang aduan atau perkongsian maklumat boleh disalurkan ke portal [email protected] atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317.

“Tahun ini, sebanyak 13 kes direkodkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan jumlah sitaan sebanyak 11,960 unit pelbagai barang tiruan dengan nilai anggaran hampir RM2 juta,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :