AGENDANASIONAL

KTMB henti beberapa khidmat tren antara negeri, bandar Rabu ini

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menghentikan sementara beberapa perkhidmatan tren antara negeri dan bandar, yang berkuat kuasa mulai Rabu sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penangguhan itu diputuskan demi keselesaan penumpang yang telah membuat tempahan tiket perjalanan tren esok.

“KTMB petang tadi telah memaklumkan pemberhentian beberapa tren antara negeri dan bandar akan dikuat kuasa mulai esok.

“Penangguhan operasi ke lusa (Rabu) membolehkan perkhidmatan tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Antarabandar ke pelbagai destinasi dilakukan masing-masing sebanyak lapan dan 10 perkhidmatan sehari,” maklum kenyataan itu.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Kamarulzaman Zainal dalam kenyataan berkata dalam tempoh PKP itu hanya dua, masing-masing ETS dan perkhidmatan KTM Antarabandar akan beroperasi setiap hari, berbanding lapan kesemuanya sebelum ini.

Kamarulzaman berkata operasi KTM Komuter pula akan dikurangkan kepada 49 perkhidmatan sehari bagi sektor Lembah Klang dan utara manakala perkhidmatan beberapa tren masih perlu diteruskan selepas mengambil kira keperluan khusus.

“Ini termasuk penghantaran bahan-bahan perubatan dan makanan serta pergerakan kakitangan pelbagai perkhidmatan penting yang terlibat dalam penguatkuasaan perintah ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata perkhidmatan tren Skypark Link di antara Stesen Kuala Lumpur Sentral dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dikurangkan kepada empat perkhidmatan sehari berbanding lapan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran, Ekspres Selatan dan Shuttle Tebrau dihentikan sepenuhnya sehingga tamat tempoh PKP.

“Penumpang boleh membuat pindaan tarikh perjalanan di kaunter atau pembatalan tiket menerusi laman sesawang www.ktmb.com.my,” katanya.

Sementara itu, Express Rail Link (ERL) akan turut mengehadkan perkhidmatannya bagi memudahkan perjalanan ulang-alik harian pekerja yang berkuat kuasa esok (24 Mac) sehingga notis lanjut.

Menurut kenyataan ERL hari ini, KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan beroperasi sebagai satu perkhidmatan gabungan dengan selang masa 30 minit sepanjang tempoh itu setiap hari yang bermula pada sebelah pagi iaitu 6 pagi hingga 10 pagi dan bagi sebelah petang dari 5 petang hingga 10 malam.

“Sila ambil maklum bahawa tiada perkhidmatan tren pada waktu-waktu lain,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, tempoh perjalanan di antara KL Sentral dan KLIA ialah 35 minit manakala di Stesen KL Sentral, semua pelepasan akan beroperasi dari platform Pelepasan KLIA Ekspres.

– BERNAMA


Pengarang :