AGENDA NASIONAL

Kuasa pasukan petugas dengan KKM tidak bertindih- Dr Dzulkefly

SHAH ALAM, 10 MAC: Keputusan Selangor menubuhkan pasukan petugas bagi memantau dan mencegah penularan Covid-19 tidak menyebabkan berlaku pertindihan kuasa dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bekas menteri kesihatan yang dilantik Kerajaan Negeri bagi mengetuai pasukan petugas berkata fungsinya tidak akan melangkau bidang kuasa KKM dalam aspek rawatan, pengurusan pesakit dan pengesanan kontak rapat.

“Pasukan petugas akan memberi tumpuan kepada kempen kesedaran kerana kita dapati tahap kebersihan dan langkah pencegahan dalam kalangan masyarakat masih rendah.

“Bilangan kes positif Covid-19 telah melebihi 100 orang dan kebanyakan mereka tinggal di Selangor, jadi adalah mustahak semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga kerana walaupun tahap penularan masih terkawal namun semua pihak perlu saling bekerjasama,” katanya kepada SelangorKini di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata pasukan petugas tersebut yang dianggotai beberapa pakar termasuk dalam bidang penyakit berjangkit akan menggunakan segala kepakaran dan pengalaman untuk mencegah penularan virus.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor mengumumkan penubuhan pasukan petugas selepas mendapati 60 peratus daripada 117 kes Covid-19 membabitkan mereka yang tinggal di negeri ini.


Pengarang :