AGENSISELANGOR

Kuis: Kuliah dalam talian jika perintah kawalan dilanjut

SHAH ALAM, 24 MAC: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) bersedia menjalankan kuliah secara dalam talian jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan, kata rektornya.

Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata kuliah melalui aplikasi Sistem Pengurusan Pembelajaran Kuis akan diguna pakai pada semester baharu, sama ada dari rumah atau luar kampus.

“Jika ditakdirkan (perintah kawalan dilanjutkan), maka kita kita perlu menghadapi kemungkinan adakan kelas secara maya memandangkan pelajar akan masuk semula pada Jun.

“Aplikasi yang dibangun membolehkan pelajar mengikuti kelas dalam talian dengan mudah, malah ia pernah digunakan pelajar matrikulasi Kuis,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau turut menggalakkan pensyarah menggunakan WhatsApp dan Telegram sebagai sokongan terhadap sistem pembelajaran tersebut, bagi memastikan maklumat penting sampai kepada pelajar.

“Pensyarah juga dibenarkan membuat kelas melalui persidangan video Skype atau Google Hangouts Meet. Insya-Allah kita akan cuba laksanakan program ini sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ab Halim berkata penularan Covid-19 tidak menjejaskan promosi bagi menarik lebih ramai mahasiswa baharu mendaftar di institusi tersebut pada semester depan.

Katanya, walaupun siri jelajah terpaksa dibatalkan lebih awal, namun pihak pemasaran Kuis masih giat meneruskan promosi di media sosial dengan memuat naik klip video pendek.


Pengarang :