Keadaan trafik di kawasan projek menaik taraf persimpangan Dengkil-Kajang pada 3 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Laluan alternatif Putrajaya-Salak Tinggi dibuka hujung bulan ini

SEPANG, 4 MAC: Penduduk di sekitar Dengkil bakal menikmati kemudahan infrastruktur lebih baik apabila laluan alternatif sepanjang 1.7 kilometer dari Putrajaya ke Salak Tinggi dibuka hujung bulan ini, kata pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor.

Shahabuddin Mohd Muhaiyidin berkata pembinaan turut membabitkan jejambat sepanjang 120 meter merentasi persimpangan Dengkil-Kajang, menaik taraf lampu isyarat dan lampu jalan dengan kos keseluruhan RM70.471 juta.

“Projek ini dimulakan pada 23 Oktober 2017 dan berjaya disiapkan lebih awal daripada jangkaan.

“Pelaksanaan projek akan meningkatkan aspek keselamatan jalan raya dan mengurangkan kesesakan lalu lintas selain memberi impak besar kepada sektor ekonomi dan sosial di kawasan sekitar,” katanya pada Program Lawatan Kerja Menaik Taraf Persimpangan FT29/FT31 di sini, semalam.

Laluan alternatif itu menghubungkan bandar Puchong, Cyberjaya, Putrajaya, Bandar Baru Salak Tinggi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 dan Selatan Sepang.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau perkembangan projek tersebut.


Pengarang :