Pasukan polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya di kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Selayang pada hari keenam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan Covid-19 pada 23 MAC 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lanjut PKP diharap landaikan graf Covid-19

PUTRAJAYA, 25 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM ) berharap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini ‘melandaikan’ graf penularan wabak Covid-19 di negara ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini berikutan jangkaan dibuat JP Morgan bahawa berlaku peningkatan kes sehingga 6,000 kes pada bulan itu.

“Kita telah laksanakan aktiviti awam serta PKP dan kita harap dapat mengesan dan pastikan kes  positif diasingkan dan diberi rawatan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM ) berharap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini akan ‘melandaikan’ graf penularan wabak COVID-19 di negara ini. INFOGRAFIK: BERNAMA

“Kita harapkan dengan tindakan kita, KKM dapat kurangkan kes positif dan tidak mencapai 6,000,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Beliau berkata antara persediaan dilakukan ialah menyediakan 3,400 unit katil dan menyasarkan mendapatkan 300 wad unit rawatan rapi khusus bagi Covid-19 serta alat bantuan pernafasan.

“Secara keseluruhan bukan hanya 3,400 katil tapi pertambahan 5,292 katil di mana kita dapat tempatkan kes simptom tapi positif atau kes bergejala ringan tapi positif.

“Kita akan kosongkan wad untuk kes sederhana dan kes kritikal di hospital,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :