Petugas Kementerian Kesihatan bertungkus-lumus menjalankan saringan Covid-19 di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 3,900 penduduk di Hulu Langat jalani PKP diperketat

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, berkuat kuasa tengah malam ini, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan ada 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui.

Katanya, perintah kawalan sehingga 13 April itu membabitkan 3,918 penduduk merangkumi 700 rumah di tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

“Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular dari kawasan itu, langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan media di sini malam ini.

Ismail Sabri berkata selaras dengan perintah itu semua penduduk dan pelawat yang sudah berada di kawasan terbabit tidak dibenarkan keluar rumah dan tiada pengunjung dibenarkan masuk selain semua aktiviti perniagaan dihentikan.

“Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pangkalan perubatan turut dibuka,” katanya

Ia adalah PKPD kedua dikeluarkan selepas arahan sama di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor.


Pengarang :