Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media mengenai Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 4 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lewat dapat rawatan punca kematian pesakit Covid-19

PUTRAJAYA, 25 MAC: Kebanyakan kematian berkaitan Covid-19 di negara ini berikutan lewat menerima rawatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata terdapat lima peringkat jangkitan Covid-19 tetapi kebanyakan mereka datang ke hospital ketika mereka sudah berada di peringkat ketiga.

“Peringkat pertama ialah apabila seseorang itu asimptomatik (tidak menunjukkan gejala) tetapi positif, manakala peringkat kedua adalah positif dengan gejala ringan dan peringkat ketiga apabila pesakit mempunyai masalah pneumonia tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen.

“Peringkat keempat, pesakit memerlukan terapi oksigen dan peringkat terakhir (peringkat kelima) apabila pesakit tidak boleh bernafas dengan baik dan kita perlu intubat (memasukkan tiub) dan menggunakan ventilator,” katanya dalam taklimat media semalam.

Dr Noor Hisham juga menjelaskan kebanyakan pesakit pada peringkat keempat, kesihatan mereka cepat merosot dan akan mudah berada di peringkat kelima.

Contohnya kematian terbaru, pesakit telah mengalami kesukaran bernafas tiga hari yang lepas, katanya.

Noor Hisham berkata, selain lewat menerima rawatan, umur dan komorbiditi (dua atau lebih penyakit yang dihadapi secara serentak) juga antara faktor menyumbang kepada kematian berkaitan Covid-19.

“Beberapa kes kematian mempunyai komorbiditi dan kebanyakan mereka berusia lebih 70 tahun.”

Sementara itu, Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia akan meningkatkan aktiviti pengesanan kes.

“Bermakna kami akan mencari kes, kami akan menguji kes itu dan jika ia disahkan, kami akan asingkan kes dan memberi rawatan.

“Kami akan terus melakukan yang terbaik untuk melihat kumpulan fokus. Contohnya, sekarang kita tahu 60% yang dijangkiti adalah kumpulan tabligh, kami akan pergi mencari mereka dan menguji mereka,” katanya sambil menambah ia bagi memastikan individu dalam kumpulan itu tidak menjangkiti orang lain.


Pengarang :