AGENSISELANGOR

Lima jurunikah Jais disyaki Covid-19 dikuarantin

SHAH ALAM, 22 MAC: Lima penolong pendaftar perkahwinan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) masih dikuarantin sementara menunggu keputusan jangkitan Covid-19.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata urusan akad nikah turut ditangguhkan, bergantung kepada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan.

“Langkah menangguhkan proses akad nikah sama seperti arahan dikeluarkan di Wilayah Persekutuan, Perak dan Sarawak bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya ketika dihubungi Selangorkini, hari ini.

Pada 17 Mac lalu, Jais mengeluarkan pekeliling menetapkan akad nikah boleh dijalankan tanpa kenduri untuk meraikan majlis perkahwinan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac.

Majlis itu juga hanya boleh diadakan di premis persendirian, dihadiri seorang pendaftar atau penolong pendaftar perkahwinan, pengantin lelaki dan perempuan, seorang wali, dua orang saksi serta dua orang wakil bagi pihak pengantin lelaki dan perempuan.

Perjalanannya juga tidak boleh lebih 20 minit termasuk khutbah nikah dan akad nikah dilangsungkan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan.

Bagaimanapun, Jais mengambil keputusan menangguhkan segala urusan berkaitannya selepas beberapa jurunikah disyaki Covid-19 ketika melaksanakan akad nikah.


Pengarang :