Selangorkini
PENDAPAT RENCANA

Lima menu tradisi langka

Selangor kaya dengan pelbagai makanan tradisi khususnya dalam kalangan masyarakat Jawa dan Bugis.

Namun, peredaran zaman menyebabkan sesetengah juadah kian sukar ditemui. Wartawan NAZLI IBRAHIM bersama wartawan pelatih SHIQIN SHUKOR dan MUNIRAH AHAMAD menyenaraikan lima makanan tradisi masyarakat di negeri ini.

Punten

Makanan tradisi Jawa ini terkenal di Sabak Bernam dan Sungai Besar. Seakan-akan nasi himpit tetapi ia mengandungi santan dan garam. Sesetengah orang mencampurkan daun pandan semasa merebus beras bagi menaikkan aroma.

Selepas direbus, ia ditumbuk halus menggunakan lesung, kemudian dikepal hingga berbentuk lonjong. Ada juga menggunakan acuan atau ditekan ke dalam bekas loyang hingga padat sebelum dipotong seperti nasi impit biasa.

Punten enak dimakan bersama sambal cili padi dan dijadikan sajian waktu pagi dan petang.

Sambal taun

Juga dipanggil sambal tahun kerana makanan tradisi Jawa ini dikatakan tahan lama hingga menjangkau setahun.

Berbeza dengan sambal biasa yang memerlukan bawang dan cili, sambal yang popular di Sabak Bernam mengandungi santan.

Ia juga dianggap eksotik kerana selain kerang, kulit lembu juga dijadikan bahan tambahan untuk menaikkan selera. Hidangan ini lazat dimakan bersama nasi, pulut dan lemang.

Bebotok

Turut disebut botok-botok dalam kalangan orang Jawa di Selangor dan Johor, ia mengandungi pelbagai jenis herba iaitu daun kesum, pucuk puding belacan, pucuk mengkudu, daun kaduk, pucuk ubi, pucuk betik, pucuk bebuas, daun kunyit, daun cekur dan daun selasih.

Biasanya, ikan tenggiri, kembung atau parang disusun berlapis sebelum dibungkus dengan daun pisang, kemudian dikukus hingga masak.

Masakan ini mirip masakan pais di utara semenanjung. Aroma wangi campuran herba tambah membangkit selera. Ada usahawan tempatan mengeksport bebotok yang disejuk beku ke Singapura dan Brunei.

Burasak

Buras, juga lebih dikenali sebagai burasak, merupakan makanan tradisi orang Bugis. Ia adalah nasi yang dikukus bersama santan dan dibalut daun pisang nipah.

Kelihatan seperti pulut bakar tetapi ia lebih lebar dan besar. Hidangan ini dijadikan menu utama menjelang sambutan Aidilfitri dan Aidiladha. Biasanya dimakan bersama ayam masak merah, ayam masak likku, dan asam pedas ikan parang.

Lepat lui

Seperti burasak, lepat lui atau lepat lueh juga hidangan utama pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha bagi masyarakat Bugis.

Bahan utamanya adalah pulut yang dimasak bersama santan kemudian diisi ke dalam daun pisang menggunakan pencetak khas diperbuat daripada upih untuk dijadikan bentuk segi tiga.


Pengarang :