(Hiasan) Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan cuba menculik seorang kanak-kanak tujuh tahun. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mahkamah tutup esok hingga 31 Mac, bicara kes tangguh

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Mahkamah di seluruh negara ditutup bermula esok hingga 31 Mac selaras dengan keputusan kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Perbicaraan dan pendengaran kes sivil serta jenayah juga ditangguhkan dan tarikh baharu dimaklumkan kemudian.

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata bagaimanapun jika terdapat keperluan pendaftaran kes baharu, pegawai penyiasat hendaklah memaklumkan lebih awal kepada Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret bertugas bagi tujuan persediaan mahkamah.

Katanya bagi kesalahan boleh dijamin, Pengarah Mahkamah Negeri hendaklah memastikan urusan jamin dapat diproses seperti biasa.

“Permohonan untuk tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah dan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dijalankan seperti biasa mengikut jadual bertugas ditetapkan.

“Bagi mahkamah menggunakan sistem e-Kehakiman, pemfailan kes-kes sivil baharu dan notis rayuan dan dokumen-dokumen berjalan seperti biasa melalui sistem e-Filing manakala bagi mahkamah tidak mempunyai sistem e-Kehakiman, pemfailan kes-kes sivil baharu dan dokumen diterima mulai 1 April 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Terrirudin berkata ia adalah panduan pengendalian kes-kes di mahkamah seluruh negara seperti diarahkan Ketua Hakim Negara bagi memastikan akses kepada keadilan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa bagi tempoh berkenaan.

Beliau berkata bagi kes-kes Mahkamah Sesyen Sivil memerlukan kesegeraan, pemfailan boleh dibuat di mahkamah berdekatan yang mempunyai sistem e-Kehakiman di negeri berkenaan.

Katanya, sebagai contoh, bagi kausa tindakan di Bangi, kes tersebut boleh difailkan melalui sistem e-Kehakiman di Mahkamah Shah Alam.

Menurut Ahmad Terrirudin, pengurusan kes sivil secara e-Review terus dijalankan seperti biasa secara dalam talian manakala pengurusan kes sivil secara manual ditangguhkan dan diberikan tarikh baharu.

“Pengurusan kes bagi kes-kes jenayah di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan ditangguhkan dan penetapan tarikh baharu dimaklumkan kemudian,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :