AGENSISELANGOR

Mais sumbang RM10,000 beli makanan kepada petugas hospital

SHAH ALAM, 20 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM10,000 bagi pembelian 3,000 pek makanan kepada warga kerja hospital dan pusat kesihatan daerah di negeri ini yang bertugas menangani pesakit Covid-19, kata setiausahanya.

Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan daripada wang Baitulmal melibatkan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras).

“Makanan kering seperti roti dan air kotak diuruskan LZS dan Teras dengan kerjasama jabatan sosial hospital dan pusat kesihatan daerah.

“Teras kemudian akan menguruskan pembekalan dan pengedaran bantuan terus kepada golongan disasarkan secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, agihan bantuan makanan akan diutamakan kepada kakitangan Hospital Sungai Buloh memandangkan mereka menguruskan lebih ramai pesakit Covid-19

“Melalui usaha ini, Mais berharap dapat meringankan beban semua pihak terutama barisan hadapan yang banyak berkorban menangani wabak Covid-19. Semoga kita semua dilindungi dan sentiasa dalam rahmat Allah SWT,” katanya.


Pengarang :