Duta Austria ke Malaysia, Dr Michael Postl. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia berpotensi jadi hab keselamatan siber di Asia Pasifik

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi hab keselamatan siber di rantau Asia Pasifik, kata Duta Austria ke Malaysia, Dr Michael Postl.

Beliau berkata lokasi Malaysia yang strategik di rantau Asia Pasifik, dengan golongan profesional dan tenaga kerja keselamatan siber yang didapati rajin, berbahasa Inggeris dan bekerja dengan harmoni merupakan ciri-ciri positif yang memberi prospek baik kepada negara.

“Saya kagum dengan ekonomi digital Malaysia, yang menyumbang sebanyak 18.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018, dan bagaimana ia muncul sebagai enjin pertumbuhan untuk negara.

“Pendigitalan menawarkan teknologi utama kepada pembangunan ekonomi dan inovasi sosial.

“Seperti Malaysia, Austria turut memberi penekanan kepada ekonomi digital dan telah melaksanakan “Digital Roadmap Austria,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada pelancaran TÜV AUSTRIA Cybersecurity Lab Sdn Bhd, usaha sama (JV) Austria-Malaysia antara TÜV TRUST IT, ahli TÜV AUSTRIA Group, dan LE Global Services Sdn Bhd (LGMS) dari Malaysia di sini hari ini.

Di bawah kerjasama itu, TÜV AUSTRIA Cybersecurity Lab akan menempatkan Pusat Kecemerlangan pengujian keselamatan siber global dan pensijilan untuk memenuhi pasaran domestik dan antarabangsa.

Kumpulan TÜV AUSTRIA adalah syarikat pengujian antarabangsa, pemeriksaan dan pensijilan dengan operasi di lebih 20 negara, dan menjana pendapatan tahunan kira-kira €220 juta (€1=RM4.67).

LGMS merupakan antara firma keselamatan siber yang menyeluruh dan utama di rantau ini yang diakreditasi dengan pelbagai pensijilan dan pengiktirafan, termasuk International Data Corporation (IDC), yang telah mengiktiraf LGMS sebagai antara vendor pengujian penembusan utama Internet of Things utama dunia dalam laporannya pada 2019.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan LGMS, Fong Choong Fook berkata TÜV AUSTRIA akan memainkan peranan penting untuk membantu organisasi mengenal pasti kelemahan dalam infrastruktur IT (teknologi maklumat) mereka sebelum mencadangkan langkah-langkah untuk mengekalkan dan meningkatkan tahap keselamatan mereka.

“Pada masa sama, JV kami akan turut menggalakkan ekosistem pensijilan dan pengujian keselamatan siber Industri 4.0 selain memacu perlindungan Infrastruktur Nasional Kritikal,” kata Fong.

Ketua Pegawai Eksekutif TÜV AUSTRIA Group Dr Stefan Haas berkata mewujudkan CoE keselamatan siber bersama LGMS adalah antara perkembangan syarikat yang menjanjikan dalam sejarahnya.

“Kami menawarkan pensijilan berdasarkan piawaian antarabangsa dan proprietari TÜV yang merekodkan kecekapan dan keselamatan permintaan pelanggan.

“Organisasi juga boleh meraih keuntungan daripada jenama TÜV yang terkenal dan mendapat kelebihan daya saing dengan TÜV,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :