Penumpang penerbangan mengenakan topeng muka sebagai perlindungan susulan penularan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 19 Februari 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Malaysia larang kapal persiaran singgah pelabuhan

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Malaysia tidak membenarkan kapal persiaran berlabuh di pelabuhan negara ini berkuat kuasa serta-merta susulan wabak Covid-19 sehingga situasi bertambah baik dan penularan jangkitan virus itu dapat dikawal, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata memandangkan kemunculan gelombang kedua kes Covid-19 di Malaysia baru-baru ini dan seluruh dunia, pelbagai langkah telah diambil pihak berkuasa Malaysia bagi menyekat penularan dalam negara dan melindungi kesihatan awam.

Dr Noor Hisham berkata kemasukan serta persinggahan kapal persiaran, penumpang dan anak kapal memerlukan penyediaan sumber perubatan yang banyak di pelabuhan bagi tujuan saringan dan rawatan.

“Dalam tempoh yang sukar ini, adalah penting lebih banyak sumber perubatan bertumpu kepada hospital-hospital yang berdepan kecemasan perubatan dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan.

“Oleh itu, Kementerian Kesihatan bersama kementerian serta agensi yang lain telah mengambil keputusan tidak membenarkan kemasukan kapal persiaran ke pelabuhan Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau bagaimanapun mengakui industri kapal persiaran adalah komponen penting dalam sektor pelancongan Malaysia dan telah menyumbang dengan ketara kepada ekonomi negara.

“Kita berharap ini hanyalah langkah sementara dan yakin bahawa usaha bersepadu semua pihak akan membantu menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :