Anggota polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya di Lebuhraya Guthrie menghala ke Shah Alam pada hari keenam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan Covid-19 pada 23 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Masih ramai ingkar PKP, 695 laporan polis diterima – Hamzah

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Sebanyak 695 laporan polis diterima berhubung pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semenjak ia dikuatkuasakan kerajaan pada 18 Mac lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata daripada jumlah itu, 28 didapati melanggar perintah tersebut manakala selebihnya masih dalam siasatan.

“Angka ini membuktikan bahawa ada lagi individu yang masih berdegil… kalau ramai yang masih degil, kemungkinan wabak ini bertambah besar dan mungkin kaedah lain terpaksa dilakukan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 ini.

“Kalau semua rakyat mendengar arahan, berkemungkinan jumlah laporan keseluruhan yang diterima berhubung pelanggaran perintah ini tidak begitu tinggi,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Pada 16 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelaksanaan PKP yang berkuatkuasa pada 18 Mac sehingga 31 Mac bagi mengekang penularan Covid-19. Kerajaan hari ini mengambil keputusan untuk melanjutkan PKP sehingga 14 April.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 94 kertas siasatan telah dibuka, enam kes telah dibicara di mahkamah dan 80 kes masih dalam siasatan berhubung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.

Berikutan itu, Hamzah turut memberi amaran kepada mana-mana individu yang menyebar berita palsu akan berdepan dengan tindakan tegas.

“Berminat dengan berita palsu, saya nak ingatkan mereka yang didapati mengeluarkan berita palsu boleh dituduh dengan kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

“Jangan ada sindrom berita tergempar di mana masyarakat terus mempercayai dan berkongsi maklumat palsu. Sila semak fakta terlebih dahulu sebelum menyebarkannya kepada orang lain yang boleh mencetuskan panik,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :