Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Air paip bebas Covid-19, tak perlu beli air botol

SHAH ALAM, 27 MAC: Tiada keperluan untuk rakyat membeli air botol sebagai minuman kerana air paip disahkan bebas Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) membuktikan virus berkenaan tidak pernah dikesan dalam air minuman kerana didoskan klorin ketika proses rawatan.

“Berdasarkan bukti semasa, risiko untuk ia (virus) berada dalam bekalan air adalah rendah kerana klorin didoskan ketika proses rawatan air berlaku,” katanya melalui video di Facebook dan Twitter malam ini.

Pada 23 Mac lalu, Pengurusan Air Selangor melalui Facebook memberi penerangan berhubung keselamatan air yang diminum dan digunakan di rumah susulan penularan Covid-19 yang dibimbangi orang ramai.

Orang ramai turut digalakkan memasak air bagi mengukuh kawalan transmisi Covid-19 dan tidak menyimpan air paip melebihi 24 jam dalam bekas kerana boleh membiakkan virus serta bakteria.

Sementara itu, Amirudin berkata Selangor terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terbela.

Beliau juga meminta rakyat berkerjasama dengan Kerajaan Negeri dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha menghapuskan rantaian Covid-19.

“Berdasarkan angka yang masih tinggi, rakyat digesa berdisiplin mematuhi PKP dan terus berada di rumah bagi membendung wabak ini,” katanya.


Pengarang :