Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan gimik perasmian ketika Majlis Pelancaran dan Penyerahan Watikah Lantikan Pengarusperdanaan Gender (GM) Negeri Selangor berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam pada 10 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Dr Dzulkefly ketuai pasukan petugas kawal Covid-19 di Selangor

SHAH ALAM, 10 MAC: Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor menubuhkan pasukan petugas diketuai bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk memantau dan mencegah penularan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Pelantikan sebulat suara dibuat dalam mesyuarat yang bersidang buat pertama kali hari ini selepas Jabatan Kesihatan Negeri mengadakan taklimat berkaitan perkembangan terbaru virus berkenaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Dr Dzulkefly bersetuju mengetuai pasukan itu yang dianggotai empat pakar kesihatan, wakil Jabatan Kesihatan Negeri dan Unit Bencana Negeri bagi mengelak virus merebak dan mengancam kesihatan rakyat.

“Langkah ini diambil kerana Kerajaan Negeri dapati sebanyak 60 peratus daripada 117 kes Covid-19 adalah mereka yang tinggal di Selangor,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Watikah Pelantikan Kumpulan Tumpuan Gender (GFT) dan Kumpulan Titik Tumpuan gender (GFP) di sini hari ini.

Amirudin berkata penubuhan pasukan tersebut berkuat kuasa serta-merta dan mereka akan bekerjasama dengan Pusat Arahan Smart Selangor untuk mendapatkan maklumat lokasi berisiko tinggi.

“Selain itu kita akan ke sekolah dan kawasan awam untuk berkongsi bagaimana masyarakat boleh membantu mencegah Covid-19,” katanya.

Beliau berkata penganjur program berskala besar diminta menyediakan penutup hidung dan mulut serta pembersih tangan kepada peserta sebagai langkah pencegahan.

“Kerajaan Negeri mengambil berat kemaslahatan umum dan akan melaksanakan segala langkah yang perlu bagi membendung merebaknya virus ini.” katanya.


Pengarang :