Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari membuat lawatan ke gerai buku selepas Majlis Perasmian Pesta Buku Selangor 2020 di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam pada 1 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Jadikan Pesta Buku Selangor bertaraf antarabangsa

SHAH ALAM, 1 MAC: Penganjuran Pesta Buku Selangor 2020 (PBS2020) diharap melonjakkan prestasinya sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata penganjuran pesta buku itu menjadi salah satu faktor yang mampu menjana ekonomi dan pemangkin kepada budaya ilmu.

Katanya faktor itu menjadi antara sebab utama penganjuran pesta buku setiap tahun bermula pada 2006 di Kompleks PKNS Shah Alam sebelum berpindah ke Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2011.

“Pertukaran lokasi pesta buku ini titik penting kerana Pesta Buku Selangor terpaksa berdiri di atas kekuatan identitinya sendiri tanpa bergantung kepada keramaian pengunjung ke pusat membeli-belah,” kata Amirudin ketika majlis perasmian PBS2020 di SACC, hari ini.

Beliau berkata kajian dilakukan untuk Pesta Buku Toronto 2012 anggaran pengunjung 75,000 hingga 125,000 menunjukkan pesta buku menyumbang sehingga $39 juta (Canadian Dollar) dalam kesan ekonomi, menambah 600 pekerjaan kepada ekonomi tempatan dan menarik kira-kira 20,000 pelancong.

“PBS diharap sentiasa progresif dengan keperluan semasa masyarakat, menjadi pemangkin, berdaya imaginatif dan menguntungkan pembaca, penerbit serta pengarang dalam mencari semula minat terhadap buku agar ia konsisten sebagai budaya ilmu,” katanya.

Pesta buku kali ke-15 ini anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Kerajaan Negeri membawa tema ‘Jom Baca’ bersempena sambutan KL Ibu Kota Buku Dunia 2020.

Dengan penyertaan 100 pempamer, penganjur menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung sepanjang 11 hari pesta sehingga 8 Mac hadapan.


Pengarang :