Keadaan trafik yang lengang di Pusat Bandar Shah Alam berikutan Akta Kawalan Pergerakan yang diumumkan bagi membendung penularan wabak Covid-19. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

MB: Khemah bantu saring Covid-19, pakej rangsangan akan dimuktamad

SHAH ALAM, 19 MAC: Kerajaan Selangor menyediakan khemah tambahan bagi membantu Jabatan Kesihatan Selangor membuat saringan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Majlis Keselamatan Negeri juga membuat keputusan memperketatkan kawalan di Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Subang dan Pengkalan Feri Pelabuhan Klang bagi mengawal keluar masuk warga asing.

“Polis juga mengambil tindakan tegas kepada orang awam yang ingkar dengan arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikut kenyataan penuh Dato’ Menteri Besar selepas keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani penularan wabak:

 

Pagi ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Kawalan Pergerakan Penularan Covid19 Negeri Selangor yang diurus setiakan oleh Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan khusus untuk menangani penularan wabak Covid-19.

Antara tiga perkara penting yang dibincangkan termasuklah:

1. Keadaaan terkini wabak Covid-19
2. Bekalan barang makanan dan bahan mentah semasa Perintah Kawalan
Pergerakan
3. Taklimat keselamatan dan hal ehwal keluar masuk negara

Saya bersama ahli-ahli mesyuarat bersetuju untuk membantu Jabatan Kesihatan Negeri dengan menyediakan khemah-khemah tambahan bagi saringan virus Covid-19 di pusat-pusat kesihatan yang berkenaan.

Mesyuarat turut menyeru agar pelawat-pelawat mengurangkan lawatan ke hospital
semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

Majlis Keselamatan Negara turut membuat keputusan untuk memperketatkan lagi
kawalan di Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Subang dan
Pengkalan Feri Pelabuhan Klang bagi mengawal keluar masuk warga asing.

Majlis turut ingin memaklumkan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia akan mengambil
tindakan yang lebih tegas kepada orang awam yang masih mengingkari Perintah
Kawalan Pergerakan.

Saya juga memaklumkan ahli mesyuarat bahawa Kerajaan Negeri sedang dalam
peringkat akhir memuktamadkan Pakej Rangsangan (stimulus package) yang
mengambilkira kebajikan semua pihak yang terkesan dengan penularan wabak ini.

Majlis akan bermesyuarat dengan lebih kerap mulai hari ini.

Daripada pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan
Persekutuan kerana membenarkan Menteri Besar mempengerusikan Majlis ini. Saya
percaya sikap profesionalisme yang ditunjukkan akan memastikan koordinasi dan
pengurusan Perintah Kawalan Pergerakan serta usaha bersama mengurus langkah
penularan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.


Pengarang :