AGENDABERITA UTAMAPENDIDIKANSELANGOR

MB: Mahasiswa Selangor dapat RM200, bantuan makanan percuma

SHAH ALAM, 20 MAC: Seramai 2,500 mahasiswa Selangor di Sabah dan Sarawak menerima bantuan RM200 setiap seorang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata mahasiswa berkenaan sudah dikenal pasti selain pihaknya juga sudah berurusan dengan pentadbiran universiti.

“Mulanya kita rancang bawa balik tetapi atas nasihat Majlis Keselamatan Negara yang tidak benarkan pulang, kita bantu dengan cara ini.

“Pemberian melalui universiti dengan cara yang tidak memerlukan pelajar berkumpul,” katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, bagi mahasiswa di Universiti Selangor, Kolej Universiti Islam Selangor dan Kolej Antarabangsa INPENS yang tidak pulang ke kampung, makanan percuma disediakan.

“Bantuan bermula Ahad ini. Keseluruhan bantuan untuk semua mahasiswa berjumlah RM2.3 juta,” katanya.


Pengarang :