Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB mahu pencemar Sungai Selangor dihukum berat

SHAH ALAM, 27 MAC: Dato’ Menteri Besar mahu individu yang menjadi punca pencemaran sisa minyak diesel di Sungai Selangor sehingga tiga Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas dikenakan hukuman berat.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi tulisan di Twitter berkata suspek terbabit sudah dikenal pasti.

“Siasatan dan pendakwaan perlu dilakukan kepada yang tidak bertanggungjawab!,” tulisnya.

Dalam tulisan sama Amirudin merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi yang pantas bertindak mengawal pencemaran diesel di sungai berkenaan.

“Saya dimaklumkan oleh pihak @air_selangor kesemua Loji Rawatan Air SSP 1, 2 dan 3 yang dihenti tugas akibat pencemaran pagi ini telah mula beroperasi sepenuhnya semula sebentar tadi.

“Tahniah dan terima kasih petugas Air Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” tulisnya.

Pagi tadi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan tiga LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) terpaksa dihenti tugas pada pukul 9.40 pagi ekoran mengesan pencemaran minyak  pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Bagaimanpun, selepas tindakan pantas beberapa agensi terlibat, tiga LRA berkenaan dapat berfungsi semula pada pukul 11.55 pagi.


Pengarang :