Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor pada 16 Mac 2020. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor hadapi impak Covid-19

SHAH ALAM, 17 MAC: Selangor akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi dalam tempoh dua minggu bagi mengurangkan impak wabak Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

“Saya akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor bagi mengurangkan impak Covid-19 kepada sektor sosial dan ekonomi negeri serta rakyat dan ia sedang dimuktamadkan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari melalui video di Facebooknya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor, semalam.

Turut hadir pada mesyuarat kali ketiga itu ialah ketua pasukannya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud.

Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor yang ditubuhkan pada 10 Mac lalu bertujuan memantau dan mencegah penularan wabak.

Pasukan petugas itu turut dianggotai Datuk Dr Christopher Lee Kwok Choong, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Datuk Dr Fadzilah Kamaludin, Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman dan Dr Yap Wei Aun.

Pada 27 Februari lalu, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion yang ditunjangi tiga strategi utama susulan penularan Covid-19.

Tiga strategi tersebut ialah menangani impak Covid-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti untuk memastikan ekonomi negara berada pada landasan mampan.


Pengarang :