Dato’ Seri Amirudin Shari dan pasukan petugas Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor mengadakan mesyuarat dalam keadaan jarak sosial selamat dan bertopeng di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

MB, pasukan petugas Covid-19 mesyuarat dengan bertopeng, duduk jauh-jauh

SHAH ALAM, 22 MAC: Dato’ Menteri Besar dan pasukan petugas Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor tetap komited melaksanakan tugas walaupun terpaksa mengadakan mesyuarat dalam keadaan jarak sosial selamat dan bertopeng, hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertemuan itu tetap diadakan bagi mendapatkan pandangan setiap ahli pasukan untuk menangani penularan wabak tersebut di negeri ini.

“Untuk itu, mesyuarat ringkas diadakan dengan jarak sosial selamat,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Majlis Tindakan Khas Covid-19 ditubuhkan untuk memantau dan mencegah penularan wabak berkenaan.

Ia diketuai mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta dianggotai Christopher Lee Kwok Choong, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Datuk Dr Fadzilah Kamaludin, Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman dan Dr Yap Wei Aun.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan sehingga semalam, sebanyak 268 kes Covid-19 dilaporkan di Selangor melibatkan daerah Petaling, Hulu Langat, Gombak, Klang, Kuala Selangor, Sepang, Kuala Langat dan Hulu Selangor.


Pengarang :