Anggota tentera turun bagi membantu polis melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan wabak Covid-19 di Bangsar, Kuala Lumpur pada 26 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
BERITA UTAMA

MB: Penginapan hotel percuma hargai petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan Selangor menyediakan penginapan hotel percuma kepada petugas barisan hadapan yang berusaha mengekang penularan wabak Covid-19, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 204 bilik di Hotel De Palma Ampang disediakan manakala 83 lagi di Hotel De Palma Shah Alam bagi memenuhi keperluan berkenaan.

Beliau berkata inisiatif hasil kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntukkan kemudahan itu kepada polis dan Angkatan Tentera Malaysia sebagai permulaan.

“Penawaran ini akan diperluas kepada kelompok lain yang bersesuaian berdasarkan keperluan semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Amirudin mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kewangan negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor bagi memperhalusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa ke-2.

Amirudin menerusi Twitter juga memaklumkan Kerajaan Selangor akan mengumumkan satu lagi pakej rangsangan kepada rakyat pada 1 April ini.

“Fokus Pakej Selangor Prihatin 2.0 kali ini, Kerajaan Negeri ingin memberi bantuan kepada rakyat bagi mengurangkan impak Covid-19,” katanya.

Pada 20 Mac lalu, Amirudin turut mengumumkan Pakej Selangor Prihatin Covid-19 kepada pelbagai golongan yang terkesan dengan pandemik berkenaan.

Ia membabitkan tujuh inisiatif dengan nilai peruntukan RM127.78 juta yang memberikan manfaat kepada petugas barisan hadapan Covid-19, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan Hijrah dan rakyat.

Antara yang diberi ialah sumbangan RM200 kepada 6,000 petugas di semua hospital di Selangor.


Pengarang :