BERITA UTAMASELANGOR

MB puji petugas tungkus-lumus pulih bekalan air

SHAH ALAM, 18 MAC: Dato’ Menteri Besar memuji usaha petugas yang bertungkus-lumus memastikan bekalan air kepada pengguna berterusan susulan henti tugas empat loji rawatan air (LRA), petang semalam.

“Saya merakamkan penghargaan kepada petugas yang bertungkus-lumus melengkapkan proses pemulihan bekalan air demi kesejahteraan rakyat Selangor. Komitmen sehingga lewat malam demi melaksanakan amanah dan tanggungjawab,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter, malam tadi.

Beliau turut meninjau kerja pemulihan bekalan air di LRA Fasa 1 dan 2 di Kuala Selangor lewat malam tadi, yang dihenti tugas akibat pencemaran bau.

Lembaga Urus Air Selangor hari ini memaklumkan penemuan bau seakan pelarut di Sungai Gong dan Sungai Bakau, Rawang menyebabkan henti tugas LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang.

Bagaimanapun, bekalan air di Kuala Selangor pulih sepenuhnya pagi tadi susulan pengoperasian semula LRA tersebut, manakala di Klang dijangka pulih sepenuhnya 6 petang ini.


Pengarang :