Orang ramai membeli barangan keperluan harian ketika tinjauan di sekitar Pasar Kajang pada 19 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Selangor sedia gunakan bantuan Persekutuan tangani krisis Covid-19

SHAH ALAM, 23 MAC: Kerajaan Negeri akan guna pakai bantuan Persekutuan RM130 juta selain Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 berjumlah RM127 juta bagi menangani wabak itu, kata Dato Menteri Besar.

Menerusi siaran di twitternya, Dato’ Seri Amirudin Shari menyambut baik dan merakamkan ucapan penghargaan terhadap pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung bantuan itu.

“Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk kesejahteraan rakyat terutama ketika krisis yang getir ini.

“Peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM130 juta akan digunakan sepenuhnya buat rakyat Selangor selain dari Pakej Selangor Prihatin berjumlah RM 127.78 juta yang telah saya umumkan tempoh hari.

“Kerajaan Negeri akan memantau keadaan semasa dan ambil langkah seterusnya,” katanya.

Muhyiddin pada sidang media khas di Putrajaya hari ini mengumumkan persetujuan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM130 juta kepada negeri-negeri menangani Covid-19.

Beliau berkata peruntukan itu boleh digunakan untuk memberi bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil, bantuan kepada pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka serta menyediakan keperluan kepada petugas di peringkat kerajaan negeri terlibat dalam menangani krisis ini.

Katanya, peruntukan sama rata diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan.

Pada 20 Mac lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 yang mengandungi tujuh inisiatif bagi mengurangkan beban ekonomi dihadapi rakyat akibat wabak itu.


Pengarang :