Majlis Doa Selamat Dan Solat Hajat Kesejahteraan Negeri Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

MB: Selangor stabil, KEADILAN miliki kerusi terbanyak

SHAH ALAM, 1 MAC: Semangat muafakat dalam kalangan pemimpin dan ahli KEADILAN menyebabkan Selangor tidak goyah, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar yang juga pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor juga bersyukur kerana negeri ini kekal stabil walaupun berlaku pergolakan politik luar jangka pada peringkat Persekutuan.

“Walaupun pelbagai dugaan rintangan dilalui, namun Selangor kekal stabil berbanding beberapa negeri lain yang masih tidak menentu keadaan politiknya.

“Di Selangor, kita masih mempunyai majoriti mantap dan KEADILAN masih menjadi parti yang memiliki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) paling banyak,” katanya selepas Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini, malam ini.

Terdahulu, lebih 500 hadir dalam majlis dimulai solat Maghrib yang turut dihadiri isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad.

Beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) hadir termasuk ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, ADN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman, ADN Sementa Dr Daroyah Alwi dan ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.

ADN Kajang Hee Loy Sian dan ADN Bukit Lanjan Elizabeth Wong turut hadir jamuan selepas majlis berkenaan.


Pengarang :