AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Sembilan lokasi Pasar Agro Selangor atasi bahan segar tidak terjual

SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan Negeri melancarkan Pasar Agro Selangor di sembilan lokasi bermula esok bagi mengatasi masalah lambakan bahan segar yang tidak terjual.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program yang bakal memanfaatkan 300,000 pengguna diselaraskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berkonsepkan penghantaran atau beli sendiri.

“Kerajaan Negeri mengenal pasti terdapat masalah dalam rantaian pembekalan yang mengakibatkan lambakan bekalan tidak terjual dalam pasaran dan akhirnya membawa kepada pembuangan.

“Justeru, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan beberapa langkah untuk fasa pertama iaitu Pasar Agro Selangor dengan dana kitaran RM1 juta untuk dimanfaatkan bagi penyimpanan dan jualan bahan asas,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Amirudin berkata langkah itu dapat memastikan pengguna memiliki bahan segar dengan diskaun antara 15 hingga 30 peratus sekali gus membantu petani dan nelayan supaya rangkaian bekalan tidak terputus.

Sementara itu, katanya, fasa kedua pula membabitkan perbincangan dengan pasar raya utama bagi bekalan dan edaran bahan tersebut.

Sembilan lokasi Pasar Agro Selangor ialah:

(Mulai 26 Mac-14 April)

  1. Pusat Operasi Fama Dengkil (012-3070806)
  2. Pusat Operasi Fama Puchong (019-2874993)
  3. Pusat Operasi Fama Kuala Selangor (019-5403791)
  4. Pusat Operasi Fama Sabak Bernam (019-3084781)
  5. Pasar Borong Tani Fama Selayang (012-5839485)
  6. Farm Outlet Putrajaya (012-3002741)
  7. Holysmoke Seksyen 13 Shah Alam (012-3100585)

(Mulai 1-14 April)

  1. MadAboutCake Petaling Jaya
  2. MakUda Seksyen 15 Shah Alam

Pengarang :