AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB umum Fokus Pakej Selangor Prihatin 2.0 pada 1 April

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan Selangor akan mengumumkan satu lagi pakej rangsangan buat rakyatnya pada 1 April ini, kata Dato’ Menteri Besar.

“Fokus Pakej Selangor Prihatin 2.0 kali ini, Kerajaan Negeri ingin memberi bantuan kepada rakyat bagi mengurangkan impak Covid-19,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Sebelum itu, Amirudin mempengerusikan mesyuarat Pakej Selangor Prihatin 2.0 di kediamannya.

Pada 20 Mac lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Selangor Prihatin Covid-19 kepada pelbagai golongan yang terkesan dengan pandemik berkenaan.

Ia membabitkan tujuh inisiatif dengan nilai peruntukan RM127.78 juta yang memberikan manfaat kepada petugas barisan hadapan Covid-19, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan Hijrah dan rakyat.

Antara yang diumumkan ialah sumbangan RM200 kepada 6,000 petugas di semua hospital di Selangor, 80,000 penjaja dan peniaga berlesen dikecualikan sewa sebulan serta diberi bantuan RM500.

Turut menerima manfaat ialah 40,000 peminjam Hijrah yang diberi penangguhan bayaran pinjaman tiga bulan dan penangguhan bayaran sewa tiga bulan kepada 2,700 penyewa Skim Smart Sewa.

Seramai 2,500 anak Selangor yang belajar di Sabah dan Sarawak diberikan bantuan RM200 manakala pelajar di Unisel, Kuis dan Kolej INPENS yang tidak pulang ke kampung diberi bantuan makanan percuma bermula 22 hingga 31 Mac.

Kerajaan turut memberi peruntukan kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) sebanyak RM30,000 untuk membantu rakyat yang terkesan Covid-19.

Tidak ketinggalan pemilik hartanah turut diberi kelonggaran lanjutan sebulan bagi pembayaran cukai tanah atau petak.


Pengarang :