Pengunjung pasar awam sekitar Petaling Jaya menjarakkan kedudukan satu meter ketika membeli barangan keperluan bagi mengelakkan jangkitan Covid-19. Foto Facebook MBPJ
PBTSELANGOR

MBPJ letak tanda jarak satu meter di semua pasar awam

SHAH ALAM, 29 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuat tanda jarak sosial satu meter di semua lantai pasar awam bagi mengelak pengunjung bersesak ketika membeli barang keperluan.

MBPJ dalam kenyataan memaklumkan kemasukan pengunjung ke pasar awam dipantau setiap hari oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19.

“Antara usaha lain dilakukan ialah meletakkan poster pendidikan kesihatan, mengambil bacaan suhu badan pengunjung ke pasar termasuk pembasmian kuman,” katanya di Facebook.

Bagaimanapun, MBPJ memaklumkan terdapat segelintir pengunjung tidak memakai topeng muka dan membawa anak kecil bersama ke pasar tanpa mengendahkan Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya tindakan pihak terbabit hanya bakal mengundang risiko jangkitan kepada orang ramai sekali gus menyukarkan usaha kerajaan membendung pandemik itu.

“Pada hari minggu didapati kesesakan orang di pasar bertambah seolah-olah penduduk tiada kesedaran untuk menyahut seruan kerajaan supaya duduk di rumah.

“Diharap kerjasama penduduk supaya duduk di rumah dan hadkan bilangan ahli keluarga di tempat tumpuan orang ramai,” katanya.


Pengarang :