PBTSELANGOR

MBPJ mahu peniaga patuh Perintah Kawalan Pergerakan

SHAH ALAM, 19 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meminta pemegang lesen perniagaan mematuhi arahan di sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kata datuk bandarnya.

Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata pihaknya membenarkan semua premis makanan, restoran, kafe atau kendera saji beroperasi seperti biasa dengan pengusaha hanya dibenarkan menyediakan perkhidmatan berbungkus serta penghantaran sahaja.

“Pasar awam juga dibolehkan tetapi hanya menjual barangan keperluan harian manakala peniaga terlibat dengan aktiviti menjual makanan dan minuman tertakluk kepada syarat sama seperti perusahaan makanan.

“Tapak perniagaan seperti karnival, ekspo, bazar larut malam (uptown) termasuk pasar malam, pasar pagi, pasar tani, gerai dan penjaja sementara hendaklah ditutup sementara kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit serta kedai serbaneka,” katanya dalam notis arahan di Facebook MBPJ.

Dalam perkongsian berasingan, MBPJ turut memaklumkan bengkel kenderaan hanya dibenarkan beroperasi dari 9 pagi hingga 2 petang.

Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara mulai semalam hingga 31 Mac bagi mengekang penularan wabak Covid-19.


Pengarang :