Pegawai Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Selangor menghulurkan bantuan dari rumah ke rumah kepada golongan memerlukan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan pada 23 Mac 2020. Foto ihsan Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MDHS
PBTSELANGOR

MDHS beri sumbangan kepada keluarga terjejas perintah kawalan

SHAH ALAM, 26 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memberi sumbangan khas kepada kira-kira 50 keluarga di kawasan pentadbirannya yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu, kata yang dipertuanya.

Shukri Mohamad Hamin berkata bantuan sosial itu termasuk bekalan barangan asas seperti beras, sardin, bihun, telur, gula, garam, kicap dan minyak

“Kita faham masalah dihadapi masyarakat terutama golongan peniaga dan penjaja kecil, jadi kita harap bantuan seperti ini meringankan beban mereka,” katanya menambah bantuan diedarkan secara berperingkat.

Beliau berkata MDHS melalui Jawatankuasa Bencana Daerah (JBD) akan mengagihkan terus kepada penerima yang layak khususnya warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan penjaja kecil serta individu bergantung gaji harian tanpa memerlukan proses permohonan.

“Kita menyelaraskan senarai penerima bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Zakat Selangor dan Pejabat Parlimen untuk mengelakkan pertindihan nama penerima melalui JBD,” katanya.

Program mendapat kerjasama Ahli Majlis turut menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan di beberapa masjid antaranya Masjid Serendah, Masjid Bandar Baru Batang Kali, Masjid Saidina Ali dan Bukit Sentosa.


Pengarang :