PBTSELANGOR

MDHS sita kilang operasi secara haram, langgar PKP

SHAH ALAM, 31 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menutup dan menyita kilang kitar semula sisa plastik di Jalan Kamunting 2B yang didapati beroperasi secara haram dan tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata yang dipertuanya.

Shukri Mohamad Hamin berkata tindakan diambil mengikut Undang-undang Kecil 3, Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDHS 2007 serta gagal mematuhi PKP.

Tambah beliau pemilik premis pernah dikenakan tindakan sebelum ini atas kesalahan operasi tanpa lesen dan kebersihan.

“Kami beri peringatan kepada semua pemilik premis supaya mematuhi undang-undang dikeluarkan MDHS dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan tolong patuhi PKP. Jika ada yang masih berdegil tindakan lebih serius bakal diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi membabitkan 10 penguatkuasa MDHS dan polis itu turut menyita dua forklift dan satu alat penimbang digital termasuk dua pekerja warganegara Bangladesh juga ditahan.

Sebelum ini, MDHS menjalankan operasi pemantauan dan pematuhan arahan PKP terhadap peniaga premis dan penjaja di kawasan pekan Hulu Yam Bharu, Antara Gapi, Serendah dan Sungai Choh dan didapati 90 peratus patuh arahan.


Pengarang :