Keadaan di sebuah pasar awam bawah pentadbiran MDHS yang beroperasi pada 27 Mac 2020. Foto ihsan MDHS
PBTSELANGOR

MDHS tingkat kawalan cegah Covid-19 di pasar awam

SHAH ALAM, 27 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) meningkatkan langkah pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di setiap pasar awam mulai jam 8 hingga 11 pagi, kata yang dipertuanya.

Shukri Mohamad Hamin memaklumkan pihaknya menerusi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam mengawal bilangan masuk pengunjung ke bangunan pasar sebagai langkah membanteras penularan Covid-19.

Beliau berkata beberapa kakitangan MDHS pula ditugaskan memberi cecair pembasmi kuman selain nasihat kepada pengunjung agar menjarakkan diri daripada pengunjung lain.

“Kita turut menampal pita pelekat di lantai pasar awam bagi mengawal kemasukan pengunjung dan memastikan mereka mematuhi jarak sekurang-kurangnya satu meter serta mengikut arahan laluan masuk dan keluar ditetapkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, Shukri berkata pihaknya turut menekankan pemakaian topeng penutup hidung dan mulut terutama kepada mereka yang mempunyai simptom batuk dan selesema.

Pada masa sama, MDHS mengambil keputusan menutup semua tandas awam bagi mengelak risiko penyebaran Covid-19 di ruang tersebut.


Pengarang :