AGENDANASIONAL

Menteri agama: Aktiviti masjid, surau ditangguh 10 hari

SHAH ALAM, 16 MAC: Semua kegiatan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan berjemaah ditangguh sepuluh hari bermula 17 Mac bagi membendung penularan Covid-19.

Menteri hal ehwal agama berkata pengurusan rumah ibadat  juga disaran membuat operasi pembersihan dan nyahkuman bagi mengelak jangkitan.

“Namun, tempoh yang dinyatakan adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu, yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang bersidang di Putrajaya semalam.

Bagaimanapun, Dr Zulkifli berkata muzakarah tersebut juga menyerahkan pertimbangan jabatan agama di setiap negeri untuk membuat penangguhan sama.

Setakat ini, hanya Perlis membatal solat Jumaat manakala masjid negeri lain meneruskan ibadah itu dengan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menyediakan cecair pembasmi kuman.


Pengarang :