Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 Mac 2020 yang lengang susulan penularan Covid-19 di seluruh dunia. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Misteri Covid-19, dunia bagai terhenti

SEJAK pertama kali dikesan di Wuhan, China pada akhir Disember lalu, koronavirus baharu atau Covid-19 kini merebak ke lebih 100 negara dalam tempoh tiga bulan.

Dengan jangkitan mencapai lebih 118,000 orang dan kematian mencecah angka 4,000 setakat 10 Mac lalu, wabak itu dianggap antara malapetaka kesihatan terbesar di dunia. Apatah lagi, orang kenamaan turut dijangkiti termasuk Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Iraj Harirchi dan Menteri Kesihatan United Kingdoms, Nadine Dorries.

Sekalipun China mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 80,868 kes membabitkan 3,111 kematian, kadar kes itu mula menurun sejak awal Mac. Hanya 40 kes dicatatkan pada 8 Mac lalu, berkurangan 44 kes berbanding sehari sebelumnya.

Ironinya, sebahagian jangkitan di Negara Tembok Besar – lokasi asal wabak – ‘diimport’ dari negara lain membabitkan 67 kes setakat 10 Mac lalu. Di Shanghai pada 6 Mac lalu, 11 orang yang masuk ke China melalui penerbangan komersial dari Iran, disahkan positif Covid-19. Sehari sebelumnya, empat kes baharu dicatat, semuanya dari Itali.

Sebaliknya, kes di negara-negara lain naik mendadak. Sehingga jam 10 pagi pada 11 Mac lalu, 10,149 kes dicatatkan di Itali, Korea Selatan (7,513 kes), Iran (8,042 kes), Perancis (1,784 kes), Sepanyol (1,695 kes) dan Jerman (1,565 kes). Brunei, Mongolia, Guernsey, Cyprus dan Panama pula lima negara terbaru mencatat kes Covid-19.

Jarang jangkiti kanak-kanak

Penyelidik masih bertungkus-lumus mencari penawar Covid-19. Pelbagai kesimpulan dicapai termasuk virus itu jarang menjangkiti kanak-kanak berbanding golongan dewasa.

Mengikut laporan Misi Bersama China-Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bulan lalu, cuma 2.4 peratus kes di China melibatkan kanak-kanak, itupun kes ringan. Setakat 6 Mac, tiada kematian kanak-kanak berlaku.

“Biasanya koronavirus menjejaskan kanak-kanak dan orang dewasa tetapi kali ini, atas sebab tidak diketahui, lebih banyak memudaratkan orang dewasa,” kata pakar pediatrik penyakit berjangkit Klinik Kanak-Kanak Cleveland, Dr Frank Esper.

Selain itu, 2.8 peratus lelaki yang dijangkiti mati berbanding wanita 1.7 peratus berdasarkan kajian Pusat Kawalan Penyakit China membabitkan 44,000 pesakit. Dr Bharat Pankhania dari Universiti Exeter percaya faktor gaya hidup antara punca kadar kematian lelaki lebih tinggi.

“Merokok merapuhkan paru-paru. Sudah tentu sukar melawan (penyakit),” kata Dr Nathalie MacDermott dari King’s College London pula, merujuk 52 peratus lelaki di China merokok berbanding wanita tiga peratus.

Cuaca sejuk risiko tinggi?

Pakar perubatan juga mengkaji sama ada wujud faktor cuaca dan suhu yang mendorong virus merebak. Penyelidik Universiti Sun Yat-Sen di ibu kota wilayah Guangdong selatan China merumuskan suhu purata 8.72 darjah Celsius paling ideal untuk Covid-19 tersebar pantas.

Mengikut South China Morning Post, kajian yang terbit bulan lalu menyebut “virus itu sangat sensitif terhadap suhu tinggi”. Justeru, kajian itu menyarankan negara beriklim sejuk menggandakan kewaspadaan.

Kajian kumpulan penyelidik Guangzhou mendapati penularan boleh berlaku dalam pelbagai keadaan sama ada kawasan sejuk, kering mahupun kawasan tropika. Ia berdasarkan penyelidikan terhadap kes Covid-19 antara 20 Januari hingga 4 Februari termasuk 400 bandar dan wilayah di China.

“Suhu ada impak terhadap kehidupan manusia (dan) mungkin memainkan peranan penting dalam kesihatan awam dari segi perkembangan dan kawalan epidemik,” kata kajian itu.

Aktiviti terhenti?

Penyebaran wabak mengakibat banyak kegiatan manusia pada skala besar, dari sukan, politik mahupun sosial, terpaksa ditangguh.

Di Itali, negara kedua terburuk mengalami wabak Covid-19, kerajaannya pada 10 Mac lalu menangguhkan semua kejohanan sukan termasuk Serie A. Malah, perlawanan terbesar dua gergasi bola sepak Juventus dan Inter Milan diadakan di stadium tanpa penonton.

Ketakutan terhadap wabak itu juga menimbul panik. Di Iran, 36 orang mati mankala 270 lagi dirawat akibat keracunan alkohol gara-gara berita palsu, kononnya alcohol tiruan mampu merawat Covid-19.

Kerajaan Arab Saudi pula menggantung sementara kemasukan jemaah ke Mekah dan Madinah, mengakibat beribu-ribu orang terkandas. Visa pelancongan negara yang diancam Covid-19 juga digantung.

Penduduk Korea Selatan pula ada rutin baharu memanaskan wang kertas sehingga 150 darjah Celsius selama dua hingga tiga saat sebelum digunakan. Bank Pusat Korea Selatan juga membuat pengasingan wang kertas selama dua minggu berikutan “virus mati selepas sembilan hari”. Sebahagian wang juga dibakar.

Di sebalik keributan itu, pencemaran alam di China turun drastik bagi dua bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu. Ini berikutan penurunan kadar nitrogen dioksida akibat lumpuhnya kebanyakan industri pembuatan kereta dan kilang lain.

Malaysia pula walaupun penyebaran virus terkawal sektor pelancongannya mengalami kerugian jutaan ringgit ekoran pembatalan tempahan hotel dan pelbagai pakej pelancongan. Pelbagai program juga terpaksa dibatalkan.


Pengarang :