AGENDANASIONAL

Motac fokus usaha tarik pelancong domestik

KOTA BHARU, 7 MAC: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menumpukan usaha menarik lebih ramai pelancong domestik berkunjung ke pelbagai destinasi pelancongan dalam negara bagi merancakkan lagi Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata usaha itu merupakan alternatif tambahan untuk menarik kedatangan pelancong berikutan kekangan dalam kalangan pelancong asing ekoran penularan Covid-19.

“Seperti kita sedia maklum, sektor pelancongan antara yang terkesan akibat penularan Covid-19, jadi bagi memastikan momentum VM2020 dapat dikekalkan, Motac sedang giat melakukan promosi untuk menarik seberapa ramai pelancong tempatan melancong di dalam negara.

“Kita yakin usaha ini dapat memberi impak signifikan terhadap industri pelancongan negara, malah pada tahun lalu kerajaan mencatatkan perolehan RM80 bilion hasil pelancongan domestik,” katanya selepas merasmikan Program Kemakmuran Seni Bersama Komuniti di Pasar Nelayan Kampung Pulau Gajah Pantai Sabak, Pengkalan Chepa di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad hari ini.

Noor Zari berkata selain pelancongan domestik, pihaknya akan meningkatkan promosi dan pemasaran untuk menarik kemasukan pelancong asing dari pasaran alternatif seperti Thailand, Indonesia, juga Eropah Barat, Timur Tengah, India dan Afrika Utara.

Beliau berkata kementerian juga telah merangka pelbagai pendekatan holistik untuk membantu penggiat-penggiat industri pelancongan yang terjejas dengan wabak berkenaan.

“Walaupun ribuan pelancong khususnya dari China telah membatalkan lawatan ke negara ini namun kita akan memfokuskan kedatangan pelancong dari negara baharu.

“Malah, data perolehan pada 2019 menunjukkan hampir 50 peratus kedatangan pelancong ke negara ini adalah dari negara jiran selain peningkatan 20 peratus pelancong India,” katanya.

Katanya Tourism Malaysia juga telah mengaktifkan ‘Crisis Communication Task Force’ yang berperanan sebagai untuk menyebarkan maklumat sahih bagi meyakinkan pelancong bahawa Malaysia adalah destinasi pelancongan yang selamat untuk dikunjungi.

– BERNAMA


Pengarang :