BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPS sita kilang mesin, punca gangguan air Selasa lepas

SHAH ALAM, 19 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita sebuah kilang menyelenggara mesin dan jentera kerana menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor sehingga menyebabkan operasi empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas Selasa lalu.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan berkata kilang di Taman Industri Integrasi, Rawang itu didapati gagal menjalankan penstoran sisa minyak melibatkan buangan terjadual mengikut syarat ditetapkan di kawasan premis terbabit.

“Siasatan awal pada Selasa lalu menemui pencemaran bau seakan-akan bahan pelarut dari Kawasan Perindustrian Kecil Sungai Bakau di Sungai Gong, Rawang.

“LUAS kemudian menjalankan pensampelan minyak dan gris serta pemeriksaan hidrokarbon di titik pelepasan akhir kilang berkenaan dan Sungai Gong,” katanya.

Jelas kenyataan itu, hasil siasatan dan pemeriksaan menyeluruh LUAS dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), MPS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Unit Pengurusan Bencana Selangor dan Air Selangor semalam menemui sisa minyak di aliran pelepasan akhir yang akan mengalir masuk ke takungan seterusnya ke Sungai Gong.

Kata kenyataan itu, bagi menyelesaikan masalah pencemaran bau, LUAS memasukkan satu tan bahan kimia ke dalam Sungai Gong.

JAS turut mengeluarkan kompaun ke atas premis berkenaan kerana gagal menguruskan bahan buangan terjadual seperti yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Sebelum ini, LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas kira-kira tiga jam sehingga berlaku gangguan air tidak berjadual di tujuh wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat namun bekalan air dipulihkan secara berperingkat.

 


Pengarang :