Pihak berkuasa MPS menjalankan pemantauan ke atas premis perniagaan di sekitar Selayang bagi memastikan pengusaha mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan pada 23 Mac 2020. Foto ihsan MPS
PBTSELANGOR

MPS sita, kompaun peniaga tidak peduli PKP

SELAYANG, 24 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan menyita dan kompaun peniaga yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai hari ini, kata yang dipertuanya.

Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata tindakan diambil selaras dengan kuasa MPS di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Pada operasi hari keenam semalam, MPS meneruskan pemantauan di premis perniagaan di kawasan Selayang yang melibatkan 55 anggota jabatan penguat kuasa dan keselamatan, jabatan pelesenan dan jabatan sisa pepejal serta kesihatan MPS.

“Pemeriksaan melibatkan 131 premis dengan 32 diberi amaran lisan manakala 43 diberi notis amaran bertulis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, MPS mendapati beberapa kedai serbaneka dan pasar raya tidak peduli dengan jumlah pengunjung memasuki premis pada satu-satu masa selain tidak mengamalkan jarak selamat satu meter antara pelanggan.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan PKP dua minggu di seluruh negara bermula 18 hingga 31 Mac 2020 bagi menyekat penularan Covid-19.

Perintah itu menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barang keperluan harian.


Pengarang :