Anggota kesihatan menyembur cecair pembasmi kuman di pasar awam sekitar Shah Alam dan daerah Sepang.
PBTSELANGOR

MPSepang, MBSA perluas proses nyahkuman

SHAH ALAM, 31 MAC: Beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini giat memperluaskan semburan nyahkuman di kawasan tumpuan awam bagi membendung penyebaran wabak Covid-19.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata pihaknya menjalankan proses nyahkuman sejak 24 Mac lalu di Terminal Bas Seksyen 17.

Katanya kerja semburan akan dilaksanakan setiap hari di lokasi berbeza bagi memelihara keselamatan dan kesihatan penduduk.

“Proses itu bermula dari 9 pagi hingga ke petang melibatkan lapan petugas jabatan kesihatan persekitaran dan jabatan kejuruteraan MBSA.

“Untuk semalam, proses nyahkuman dibuat di beberapa lokasi di Seksyen 6, Seksyen 11, Pusat Bandar Sungai Buloh dan Bandar Baru Sungai Buloh meliputi kedai, balai polis serta surau,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, yang dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata sebanyak 61 lokasi tumpuan orang ramai di daerah itu sudah menjalani proses nyahkuman bermula 24 Mac lalu hingga kelmarin.

“Lokasi terbabit adalah pasar awam (empat), medan selera (17), taman permainan (satu), hentian bas (29), hentian sekatan jalan raya (enam) dan tandas awam (empat).

“Kerja semburan nyahkuman akan mula dibuat selepas tamat aktiviti jual beli di pasar awam sekitar jam 1 petang yang disertai 20 pegawai kesihatan persekitaran, penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pekerja awam,” katanya. 


Pengarang :