PBTSELANGOR

MPSJ batal lesen peniaga ingkar perintah kawalan

SHAH ALAM, 22 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan membatalkan lesen peniaga yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu, kata yang dipertuanya.

Noraini Roslan berkata langkah itu susulan banyak premis makanan masih beroperasi dan melayan pelanggan tanpa mengendahkan arahan kerajaan.

“Langkah ini juga bagi memastikan kesihatan dan keselamatan penduduk Subang Jaya terjamin tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pengusaha yang melanggar peraturan boleh didenda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 selama 14 hari di seluruh negara.

Perintah itu melarang pergerakan dan perhimpunan ramai di semua rumah ibadat serta premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.


Pengarang :