AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MRT: Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya capai kemajuan lebih 70 peratus

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) mencapai lebih 70 peratus penyelesaian projek berikutan kejayaan penembusan terowong di bawah Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran Sungai Besi.

Pengarah projek Datuk Amiruddin Ma’aris berkata penembusan yang dilakukan pada hari 7 Mac lalu menandakan kerja penggalian untuk terowong kedua, yang terletak antara 4.7 meter dan 5 meter di bawah lebuh raya sibuk, selesai.

Katanya, penembusan untuk terowong pertama berjaya dilakukan pada 25 Februari lalu dan penembusan ini merupakan pencapaian penting dalam pembinaan laluan kedua projek MRT Lembah Klang.

“Kejayaan pembinaan terowong V204 menunjukkan komitmen MRT Corp yang kuat sebagai pemilik projek dan pasukan pembinaan dari MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd sebagai kontraktor serah kunci dan WCT Berhad sebagai kontraktor Pakej Kerja untuk menyiapkan projek mengikut jadual,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua terowong itu mempunyai diameter 5.8 meter dan panjang 60 meter, terletak di antara Stesen Taman Naga Emas dan Sungai Besi.

Pembinaan terowong dijalankan menggunakan kombinasi beberapa kaedah, seperti penggalian terowong mikro menggunakan mesin pengorek terowong bersaiz kecil berdiameter 0.8 dan pembicuan paip untk membina gerbang supaya penggalian terowong dapat dijalankan.

Pembinaan terowong bermula pada Mac 2019 dan sepanjang tempoh pembinaan itu, lebuh raya yang berada di atas terowong itu yang merupakan jalan raya utama, masuk dan keluar Kuala Lumpur, kekal dibuka kepada lalu lintas.

Amiruddin berkata memandangkan pembinaan Laluan SSP berjalan lancar dan mengikut jadual, MRT Corp menjangkakan operasi Fasa Pertama Laluan SSP antara Stesen MRT Kwasa Damansara dan Kampung Batu boleh bermula pada pertengahan 2021 dan untuk keseluruhan laluan pada 2022.

-BERNAMA


Pengarang :