Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Mufti: Jangan risau tidak solat jemaah, staf masjid tunaikan fardu kifayah

SHAH ALAM, 19 MAC: Mufti Selangor meminta orang ramai tidak panik kerana tidak bersolat jemaah di masjid sebaliknya meningkatkan amalan di rumah bersama keluarga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam hingga 31 Mac.

Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata ini kerana masih ada imam dan beberapa pegawai masjid menunaikan solat jemaah dalam tempoh ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Sekurang-kurangnya mereka ini melepaskan fardu kifayah kepada kariah, maksudnya kariah yang tidak pergi (solat berjemaah di masjid sepanjang tempoh itu) terlepas dosa kerana tidak berjemaah solat fardu.

“Tempoh ini tidak seharusnya dijadikan peluang berehat di rumah semata-mata sebaliknya tingkatkan amalan seperti membaca al-Quran, inilah masa untuk mendekatkan diri dengan Allah,” katanya ketika dihubungi Selangorkini di sini hari ini.

Selasa lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua kegiatan di masjid, surau dan musolla termasuk solat Jumaat di seluruh negeri ditangguhkan sebulan sehingga 17 April berikutan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin bertitah solat Jumaat wajib digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing manakala laungan azan perlu dilaksanakan seperti biasa menandakan masuk waktu solat dan menggalakkan rakyat membaca qunut Nazilah untuk memohon perlindungan Allah SWT.

Ketetapan itu selaras Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Dalam pada itu, Mohd Tamyes berkata kesepakatan kerajaan pusat dan negeri berhubung pelaksanaan perintah itu adalah untuk menjaga keselamatan rakyat daripada ancaman wabak yang setakat ini meragut dua nyawa di Malaysia.

“Sebagai manusia kita harus berikhtiar mencari penyelesaian untuk kesejahteraan dan keselamatan masyarakat walaupun doa juga adalah senjata untuk orang mukmin.

“Saidina Umar pernah menyatakan kalau ada wabak di sesebuah kawasan, jangan ke sana dan kalau berlaku di negeri sendiri jangan keluar daripadanya,” katanya.


Pengarang :