Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) bersalaman dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Perdana Menteri di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Muhyiddin bertemu KSN, ketua-ketua jabatan hari ini

PUTRAJAYA, 2 MAC: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memulakan tugas sebagai Perdana Menteri hari ini mempunyai jadual bertemu dengan Ketua Setiausaha Negara dan ketua-ketua jabatan serta agensi bagi menyelaraskan perjalanan pentadbiran kerajaan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini menyatakan tiada mesyuarat atau sebarang perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan bagi Muhyiddin hari ini.

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara semalam (1 Mac).

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin memasuki Perdana Putra, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, di sini bagi memulakan tugas hari pertamanya sebagai perdana menteri hari ini.

Pada hari pertamanya, beliau mempunyai jadual temujanji dengan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

– BERNAMA


Pengarang :