AGENDAEKONOMI

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka naik

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meningkat semula minggu depan, berikutan bank-bank pusat dunia meningkatkan mudah tunai dalam pasaran yang terjejas oleh Covid-19 untuk menerapkan keyakinan pasaran.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata pada minggu lepas, pelbagai langkah melibatkan peruntukan yang besar telah diumumkan oleh beberapa bank pusat, termasuk mudah tunai bernilai lebih US$1 trilion diumumkan oleh Rizab Persekutuan AS untuk membendung kejatuhan pasaran disebabkan COVID-19.

“Selain itu, pakej rangsangan daripada Bank Pusat Eropah (ECB) dan pengurangan dalam Nisbah Keperluan Rizab (RRR) dari China turut menawarkan gabungan dasar yang kukuh untuk menangani keadaan tidak menentu dalam pasaran kewangan.

“Oleh itu, harga niaga hadapan MSM dijangka meningkat semula minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran diniagakan dalam jajaran kecil, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh Covid-19 dan kemerosotan harga minyak mentah.

Harga komoditi itu turut dijejaskan oleh minyak sawit dan stok MSM yang rendah pada Februari 2020 seperti dilaporkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Semasa ditutup pada Khamis, niaga hadapan MSM di bursa tempatan susut di bawah RM2,300 satu tan selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik.

-BERNAMA


Pengarang :